Menjadi fitrah seorang isteri
untuk menghormati dan mentaati seorang suami. Tetapi sudah menjadi satu trend isu-isu
seperti isteri yang derhaka pada suami dalam keadaan sedar mahupun tidak. Ada
di kalangan isteri yang merasakan mereka tidak melakukan apa-apa tetapi dari
sudut suami, adanya bibit-bibit atau ciri-ciri isteri derhaka.
Namun salah satunya sedarkah kita
yang hari ini peranan seorang isteri seolah-olah menjadi lebih besar dan
terbeban berbanding seorang suami? Harap penulisan ini dibaca secara terbuka
dengan hati dan bukanlah berniat untuk menyalahkan sesiapa. Cabaran kehidupan pada hari ini mendorong para
ibu untuk sama-sama membantu suami keluar mencari rezeki.
Ya benar, perlu ikhlaskan hati.
Tapi bagaimana ikhlas itu untuk selalu kekal jika dari hal urusan di pejabat
sampai ke rumah diuruskan oleh seorang isteri? Tak kurang isteri yang lebih
memilih kepada cara, “tak kuasa nak bercakap lagi”dan mengambil initiatif untuk
lebih berdikari dan menguruskan semua serba-serbi sendiri? Pada mata suami anda
mungkin nampak si isteri seorang yang berdikari. Tapi bagaimana pandangan
masyarakat sekeliling?
Memilih bangga mendapat isteri
yang berdikari atau sengaja menunjukkan kelemahan diri sebagai seorang suami? Bahagia
itu memang perlu dicari, tapi bahagia yang macam mana jika beban menguruskan
perihal rumahtangga hanya dipikul seorang isteri? Tak mustahil dari bahagia
boleh bertukar derita. Mungkin di suatu peringkat isteri mula merasakan, “Ada
suami tak ada suami sama je.” Dan begitu mudah seorang suami pula menjatuhkan
gelaran isteri derhaka pada isteri.
Ada kebaikannya bila seorang
isteri mampu berdikari kerana kita takkan pernah menjangka jika suami pergi
dahulu dijemput ilahi, sekurang-kurangnya si isteri lebih bersedia. Namum
terlalu berdikari juga memungkinkan hubungan suami isteri menjadi semakin
hambar dan perasaan cinta hilang tanpa kita sedari.
Dan jika seorang isteri itu rapuh
hatinya kerana hilangnya tempat dia berharap, tak mustahil akan muncul pula
orang ketiga yang dirasakan lebih memahami. Sekali lagi, isteri juga dituduh
melulu curang tanpa usul periksa. Menginginkan sebuah keluarga sakinah adalah
impian setiap cita-cita pasangan suami isteri.
Namun jika segala beban
ditanggung oleh seorang isteri yang merasakan, “Aku selesa berdikari, buat
semua sendiri,” tak mustahil suami mula ambil mudah segala tanggungjawab,
bersenang-lenang lepak minum dengan kawan-kawan, balik rumah duduk santai
sambil menonton tv. Di mana sakinahnya?
Dan bila isteri mula meluahkan
pada kawan-kawan, mula dikatakan tidak pandai menjaga aib suami. Jadi perlu
disimpan, diperam? Dah bila dah terlambat, tak mustahil keadaan ketika itu akan
bertambah buruk. Tetap, seorang isteri itu dianggap salah. Hanya dia yang
bersalah di mata masyarakat.
Dalam rumahtangga yang dibina,
konsep memberi itu perlu seimbang untuk mewujudkan kerukunan sesebuah
rumahtangga. Kalau hanya “all out” di sebelah pihak, mulalah timbul isu ungkit
mengungkit. Sedangkan si isteri tak berniat begitu. Tetapi kerana ada hari yang
terlalu meletihkan, maka terhamburlah segala kata-kata yang tidak sepatutnya.
Perkahwinan itu adalah untuk
melengkapkan antara satu sama lain kerana kita hamba-Nya yang dilahirkan tidak
sempurna. Seorang isteri yang berdikari memang untuk kebaikan bersama. Tetapi
bukanlah tiket untuk seorang suami berasa selesa.
Indah & manisnya sebuah
perkahwinan kerana adanya sikap bekerjasama dan toleransi. Ibaratnya seperti
sebuah kapal yang perlu nakhoda yang cekap dan anak kapal yang sentiasa
bersedia. Walau bagaimana hebat badai melanda, kapal mungkin karam tapi kru-kru
kapal masih dapat diselamatkan.
Love, Mamajuju
15/1/2019, jam 10.48am
No comments:
Post a Comment